Sunday, 11 December 2011

Cara Pendaraban yang senang dikuasai

Lagu Tiga Kupang

Pengajaran Mikro Saya


REFLEKSI PENGAJARAN MIKRO

Saya telah menjalankan langkah set induksi sebagai pengajaran mikro ini. Set induksi merupakan bahagian permulaan dalam aktiviti pengjaran dan pembelajaran. Tujuan set induksi ialah membina aliran fikiran serta menimbulkan minat murid-murid supaya mereka dapat memusatkan perhatian terhadap isi pelajaran yang hendak disampaikan ( Mok Soon Sang, 2007). Masa yang diperuntukkan bagi menguruskan set induksi tidak melebihi lima miniti dalam sesuatu waktu pengajaran. Di antara cara-cara yang biasanya dilaksanakan dalam set induksi ialah penggunaan alat bantu menajar, situasi, mptivasi, imbas kembali, penyoalan, ulangkaji topik yang berkaitan dan sebagainya. Saya telah menggunakan cara penggunaan alat bantu mengajar iaitu menggunakan wang kertas dan duit syiling yang sebenar. Kekuatan yang dapat dikesan dalam menjalankan tugasan mikropengajaran ini ialah penggunaan benda yang konkrit iaitu benda yang sebenar telah memudahkan kefahaman murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila guru menunjukkan wang kertas dan syiling untuk tatapan murid-murid, murid-murid terhengeh-hengeh untuk menyatakan nilai mata wang malaysia. Aktiviti pengajaran dan pembejalaran menjadi menarik atau menyeronokkan berbanding dengan penggunaan wang kertas yang palsu atau gambarajah sahaja. Penggunaan bahan bantu mengajar membolehkan murid-murid mudah memahami konsep yang anstrak. Murid-murid lebih mudah menguasai kemahiran baru iaitu membuat perbezaan di antara wang Malaysia dengan wang negara lain. Saya telah berjaya mencungkil minat belajar mereka kerana semua murid giat menjawab soalan yang dikemukan. Aktiviti pembelajaran juga menjadi lebih menarik dan menyeronokkan apabila murid-murid melibatkan diri secara aktif dalam meneka sampul surat yang mengandungi mata wang Malaysia.
            Tidak dapat dinafikan juga penggunaan suara yang lantang dan jelas juga telah menjayakan langkah set induksi ini. Suara guru mestilah lantang dan cara penyampaian juga perlu jelas agar tidak menimbulkan keliruan murid-murid. Murid-murid dapat memberi perhatian yang penuh dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran terutamanya murid-murid yang duduk di belakang. Sebutan guru juga jelas didengar dan ini dapat mengurangkan kebosanan murid-murid. Sebaliknya, jika guru yang gagal menyampaikan isi pelajaran dengan jelas dan lantang, guru akan mengalami kesukaran dalam mencapai objektif pengajarannya. Selain itu, kawalan murid juga dijalankan dengan lancar sepanjang pengajaran mikro ini kerana semua murid memberi perhatian dalam aktiviti pembelajaran kecuali semasa hujan.
            Namun demikian, terdapat juga kelemahan atau kekurangan dalam aktiviti pengajaran mikro ini. Salah satu daripadanya ialah peruntukan masa yang berlebihan dalam langkah set induksi ini. Saya telah menyediakan terlalu banyak sampul surat yang mengandungi pelbagai mata wang Malaysia dan wang asing. Ini telah menyebabkan pengajaran guru menjadi kelam kabut kerana ingin menghabiskan langkah pengajarannya. Selain itu, saya juga telah menggunakan masa yang terlalu banyak dalam mencungkil pengetahuan sedia ada murid iaitu pengetahuan terhadap nilai mata wang Malaysia. Saya harus menggunakan masa yang sepatutnya dalam membuat perbandingan mata wang asing dengan mata wang Malaysia. Demi menambaikan kelemahan ini, guru haruslah membuat demonstrasi terlebih dahulu sebelum masuk kelas dan merancang dengan lebih teliti sama ada masa yang digunakan mencukupi untuk setiap langkah pengajaran atau sebaliknya. Penggunaan masa yang tepat dalam menyampaikan isi pelajaran amat penting agar murid berupaya menguasai suatu kemahiran atau ilmu pengetahuan dan objektif mengajar guru dapat dicapai.
            Saya juga menghadapi masalah menguruskan bahan bantu mengajar iaitu mata wang kertas dan syiling Malaysia dan negara asing. Hal ini kerana mata wang yang ditunjukkan boleh dikatakan kecil dan murid-murid yang duduk di belakang kelas menghadapi kesukaran untuk melihat dengan jelas. Murid-murid hanya mengenalpasti mata wang Malaysia berdasarkan warna mata wang. Namun demikian, mereka akan susah membuat perbezaan apabila guru menunjukkan mata wang yang hampir sama warna seperti wang kertas RM10 hampir sama dengan wang kertas wang kertas 10 dollars Singapura. Masalah ini menjadi lagi serius apabila murid-murid dikehendaki mengenal pasti duit syiling Malaysia dengan duit syiling luar negara. Oleh yang demikian, guru hendaklah bergerak  ke setiap sudut kelas agar semua murid dapat melihat benda atau objek yang ditunjukkan oleh guru. Komunikasi antara murid dan guru juga akan lebih berkesan sekiranya guru bergerak secara keseluruhan kelas kerana memahami masalah pembelajaran murid-murid di dalam kelas. Sebagai tambahan, masa yang diperuntukkan mestilah mencukupi agar semua murid dapat membuat pemerhatian dengan jelas.
       Guru juga menghadapi masalah atau gangguan yang berlaku di luar jangkaan seperti hujan semasa proses pengajaran mikro. Hujan yang turun secara tiba-tiba menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran kerana guru terpaksa menggunakan suara yang lebih besar lagi lantang agar semua murid dapat mendengar dengan jelas. Kawalan kelas menjadi sukar kerana tumpuan murid semakin berkurangan dalam aktiviti pembelajaran. Lantaran itu, murid-murid duduk termenung, berdiri untuk meninjau murid-murid yang lain atau berbisik-bisik dengan rakannya atas sebab menganggap guru tidak perasan perangai mereka. Justeru, guru perlu mengubah aktiviti pengajarannya menjadi lebih menarik dan melaksanakan aktiviti yang melibatkan semua murid seperti meminta semua murid berdiri menyatakan nilai mata wang Malaysia.
Walau bagaimanapun, setiap kekangan-kekangan yang belaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi pedoman atau panduan mengajar pada masa depan setelah guru melaksanakan langkah penambahbaikan. Kemahiran mengajar guru juga dapat diasah berdasarkan pengalaman yang diperolehi.